
PPPMB bincang cabaran ekonomi semasa

18 Jul 2024
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Bahagian Ekonomi di bawah Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB) baru-baru ini telah menganjurkan acara bertajuk Bual Bicara Ekonomi Melayu Siri 2.
Seramai 40 orang ahli PPPMB telah hadir pada majlis yang diadakan pada 12 Julai lalu itu.Objektif acara itu diadakan adalah untuk membincangkan cabaran ekonomi semasa yang dihadapi oleh usahawan per-usahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta memberikan saranan penyelesaian dan peluang penambahbaikan.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua PPPMB, Dr Haji Abdul Latif bin Chuchu dan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden (Ekonomi), Haji Suni bin Haji Sulaiman.
Satu forum telah diadakan di mana dua peniaga Melayu iaitu Haji Illias bin Haji Matussin dari Shamada Corporation Sdn Bhd dan Awang Mohd Ayub bin Suhaili dari Eco Nadi Agrobiz telah dijemput untuk berkongsi kisah kejayaan mereka semasa forum tersebut.
Status dan kemajuan dua projek PPPMB yang sedang berjalan turut ditonjolkan semasa acara tersebut iaitu kutipan dana untuk projek kerjasama antara PPPMB dan Majlis Kemajuan Ekonomi Palawan (PEDCO) bagi pembangunan tanah di Palawan Filipina serta Projek Kedai Runcit antara PPPMB dan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) untuk Brunei.
PPPMB merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang misinya adalah untuk mempromosikan dan mengu-kuhkan ekonomi Brunei melalui sokongan dan peningkatan aktiviti keusahawanan. Visinya adalah untuk membimbing dan menyokong usahawan Brunei ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 yang mana persekutuan tersebut mempunyai hampir 500 ahli yang berdaftar.